Waktu zaman dulu, orang simpan emas dalam tin biskut, bawah bantal atau pun dalam almari. Dan ada kalanya, almari tersebut pun dibiarkan sahaja tidak berkunci.
Tetapi berbeza dengan zaman sekarang, di mana semakin ramai yang sedar tentang pentingnya menjaga keselamatan barang-barang berharga mereka.
Simpan Peti Keselamatan
Selain simpan barang kemas dalam kotak perhiasan yang berkunci, mereka juga turut menyimpan barang kemas dalam peti keselamatan di rumah. Untuk membukanya pula memerlukan kunci khas atau kod keselamatan yang hanya pemiliknya sahaja yang tahu.
Terdapat banyak pilihan dan saiz peti keselamatan yang boleh anda pilih. Lagi besar, lagi bagus kerana ianya berat dan tidak mudah dialihkan. Cumanya, menyimpan peti keselamatan dalam rumah agak berisiko kerana mudah menjadi sasaran pencuri.
Sewa Peti Keselamatan
Bagi mereka yang mempunyai emas dan barang berharga yang banyak, peti keselamatan adalah tidak sesuai digunakan di dalam rumah. Adalah lebih baik mereka menyewa peti keselamatan yang disediakan oleh penyedia perkhidmatan keselamatan seperti bank atau syarikat-syarikat swasta seperti Public Safe.
Ianya bukan sahaja lebih selamat dari dicuri, malah turut dilindungi dengan insurans. Seandainya ada berlaku kehilangan, kebakaran atau perkara yang tak diingini terhadap emas dan barang berharga mereka, pihak insurans akan memberikan pampasan mengikut pada kadar yang telah ditetapkan.
Tetapi, perkhidmatan ini tidaklah percuma. Ada caj yang dikenakan untuk menyewa peti simpanan tersebut. Cajnya pula bergantung pada saiz peti simpanan yang digunakan dan perlu dibayar setiap tahun.
Simpan Di Pajak Gadai
Selain menggunakan perkhidmatan sewaan peti keselamatan, anda juga boleh menyimpan emas anda dengan selamat melalui pajak gadai. Apabila anda memajak emas, emas anda akan disimpan di kedai pajak dengan caj simpanan yang dikenakan.
Bergantung pada kedai pajak yang anda pilih. Ada yang mengenakan caj sebanyak 1% daripada nilai emas yang dipajak sebulan. Makin panjang tempoh pajakan, makin banyaklah caj simpanan yang perlu anda bayar.
Walau bagaimanapun, pada pendapat peribadi saya, adalah lebih mudah jika anda menggunakan perkhidmatan sewaan peti keselamatan. Walaupun kosnya sedikit tinggi sekitar RM250 dan ke atas setahun, tetapi anda akan rasa lebih tenang kerana anda tahu emas dan barang kemas anda disimpan di tempat yang selamat.