Bila perlu bayar zakat emas?

Fauzi Mohd Darus

Ramai yang simpan emas kerana emas adalah aset simpanan dan pelaburan yang selamat, menguntungkan untuk jangka masa yang panjang dan bebas daripada risiko susut nilai.

Kepada mereka yang beragama Islam, semestinya sudah faham kepentingan untuk menunaikan zakat dalam kehidupan.

Zakat emas adalah antara jenis zakat yang paling ramai orang keliru, khususnya bila nak membezakan antara emas simpanan dan emas perhiasan.

Dalam artikel kali ini, saya kongsikan dengan anda panduan tentang bilakah emas wajib dizakatkan, macam mana nak kira zakat emas, dan bagaimanakah cara yang paling mudah tunaikan zakat emas.

Apa itu Zakat Emas?

Zakat emas adalah zakat yang diwajibkan ke atas emas yang kita miliki apabila cukup dua syarat utama iaitu:

  1. Cukup nisab (berat minimum emas yang mewajibkan zakat).
  2. Cukup haul (dimiliki selama satu tahun hijrah).

Kadar zakat emas telah ditetapkan sebanyak 1/40 bahagian emas atau 2.5 peratus daripada nilai emas yang wajib dizakatkan.

Namun begitu, sebelum anda mula mengira zakat emas, anda perlu tahu terlebih dahulu kategori emas anda.

Zakat emas terbahagi kepada dua iaitu zakat emas yang dipakai dan zakat emas yang disimpan. Dan zakat yang perlu kita bayar adalah sebanyak 2.5% daripada jumlah nilai emas yang kita miliki.

Perbezaan Antara Emas Simpanan dan Emas Perhiasan

Terdapat dua jenis emas yang kebiasaannya rakyat Malaysia gunakan seperti.

1. Emas Simpanan / Pelaburan

Termasuk dalam kategori ini adalah seperti

  • Gold bar
  • Dinar
  • Emas GAP
  • Syiling emas
  • Emas yang tidak dipakai dan hanya disimpan

Emas jenis ini wajib dizakatkan apabila cukup nisab 85 gram dan haul satu tahun.

2. Emas Perhiasan

Untuk emas perhiasan yang dipakai, setiap negeri menetapkan had uruf (kadar pemakaian yang dikecualikan zakat). Lebihan daripada had uruf inilah yang wajib dizakatkan.

Contoh had uruf beberapa negeri:

  • Wilayah Persekutuan: 200 gram
  • Selangor: 800 gram
  • Johor: 500 gram
  • Kelantan: 200 gram

Jika jumlah emas perhiasan anda melebihi had uruf negeri, lebihan itu wajib dizakatkan.

Zakat Emas Yang Dipakai

Emas yang dipakai merujuk pada emas atau barang kemas yang dipakai sebagai perhiasan. Dan kiraan zakat emas yang dipakai ini bergantung pada negeri kerana kadar urufnya berbeza bagi setiap negeri.

Sebagai contoh, uruf bagi emas yang dipakai bagi Negeri Sembilan adalah 200 gram. Jadi jika isteri saya mempunyai emas yang dipakai sebanyak 300 gram, maka kiraannya adalah:

300 gram – 200 gram (uruf) = 100 gram
100 gram x RM225 (kadar emas segram) = RM22,500
RM22,500 x 2.5% = RM562.50

Maka jumlah yang dikenakan zakat ke atas emas yang dipakai adalah sebanyak RM562.50 sahaja.

Zakat Emas Yang Disimpan

Bagi zakat emas yang disimpan pula adalah tetap pada nisab 85 gram. Bermakna jika kita ada simpan emas (termasuk dengan barang kemas yang tidak dipakai selama setahun) akan dikenakan zakat apabila jumlahnya bersamaan dengan 85 gram atau lebih.

Sebagai contoh, saya mempunyai 90 gram emas simpanan yang terdiri dari goldbar dan dinar. Maka kiraan zakat emas saya adalah:

90 gram x RM225 (kadar emas segram) = RM20,250
RM20,250 x 2.5% = RM506.25

Jadi jumlah zakat emas simpanan yang perlu saya bayar adalah sebanyak RM506.25 sahaja.

Namun begitu, untuk kiraan yang lebih tepat dan nilai uruf yang sebenar, perlulah dirujuk dengan Pusat Pungutan Zakat negeri masing-masing.

Bila sudah selesai bayar zakat, barulah terasa lapang dan senang untuk tambah lagi simpanan emas kita.

Emas GAP Perlu Bayar Zakat atau Tidak

Ya, emas GAP juga dikira sebagai emas simpanan. Jika cukup 85 gram dan cukup haul, ia wajib dikenakan zakat

Nak mudah,

  • Semak jumlah gram emas GAP anda
  • Darabkan dengan harga emas semasa
  • Kemudian darabkan pula dengan zakat 2.5 peratus

Jika nilai emas anda melepasi nisab, maka zakat wajib ditunaikan.

Zakat Untuk Emas Yang Digadai (Ar-Rahnu)

Ramai penyimpan emas keliru tentang emas yang digadai dekat Ar-Rahnu.

Prinsipnya:

  • Zakat wajib dibayar hanya atas nilai emas yang anda miliki, bukan nilai pinjaman.
  • Jika emas ar-rahnu telah dilelong dan tidak lagi dimiliki, ia tidak wajib zakat.

Contoh ringkas:

Anda gadai 100g emas dan nilai pinjaman yang anda dapat adalah RM10,000.
Walaupun telah digadaikan, tetapi ianya masih milik anda selagi mana emas tersebut tidak dilelong dan dibeli oleh orang lain.

Maka anda masih merupakan pemilik emas tersebut dan wajib dikira dalam zakat.

Cara Bayar Zakat Emas Mengikut Negeri

Hari ini hampir semua pusat zakat negeri menyediakan cara bayaran yang sangat mudah. Anda boleh bayar melalui:

  • Portal Lembaga Zakat negeri
  • FPX online banking
  • Maybank2u dan CIMB Clicks (menu Zakat)
  • Aplikasi mudah alih zakat negeri
  • Kaunter zakat
  • Potongan gaji bulanan

Contoh akses negeri:

  • Zakat Selangor: zakatselangor.com.my
  • Lembaga Zakat Wilayah Persekutuan: zakat.com.my
  • Majlis Agama Negeri Johor: majlisjohor.gov.my
  • Majlis Agama Islam Kelantan: e-maik.my

Sebaiknya anda bayar zakat emas setiap tahun selepas cukup haul untuk mengelakkan terlupa atau tertangguh seperti setiap bulan Disember pada setiap tahun.

Contoh Situasi Biasa Penyimpan Emas

  1. Simpan 50 gram emas – Tidak wajib zakat kerana belum cukup nisab 85 gram.
  2. Simpan 90 gram emas selama setahun – Wajib zakat. 90g × harga semasa × 2.5%.
  3. Pakai emas perhiasan 250 gram di Wilayah Persekutuan – Had uruf 200 gram. Lebihan 50 gram wajib zakat.
  4. Ada GAP 30 gram + emas fizikal 70 gram – Jumlah keseluruhan = 100 gram. Wajib zakat.

Anda dinilai berdasarkan jumlah keseluruhan emas, bukan hanya satu akaun atau satu bentuk emas sahaja. Kena kira kesemua jumlah simpanan emas anda.

Soalan Lazim (FAQ)

1. Zakat emas wajib bayar setiap tahun ke?

Ya. Setiap tahun apabila emas yang anda miliki sudah cukup haul dan nisab, anda wajib bayar zakat emas.

2. Harga emas naik turun. Harga mana perlu saya pakai?

Gunakan harga emas semasa pada hari anda membuat kiraan atau hari anda membayar zakat.

3. Kalau emas hilang atau dicuri sebelum cukup haul?

Tidak wajib zakat kerana emas itu tidak lagi menjadi milik anda.

4. Emas yang tidak cukup 85 gram tapi dalam GAP dan simpanan fizikal, adakah digabungkan?

Ya. Kesemua emas dikira sekali sebagai jumlah keseluruhan.

5. Adakah zakat emas dikenakan atas harga jual atau harga belian?

Zakat dikira berdasarkan harga emas semasa, bukan harga beli.

6. Bagaimana kalau saya tidak pasti berapa berat emas perhiasan?

Bawa ke kedai emas atau mana-mana cawangan Public Gold untuk ditimbang secara tepat.

7. Kalau saya simpan emas untuk kegunaan anak atau isteri, siapa yang wajib bayar zakat?

Zakat wajib ke atas pemilik emas, bukan individu yang memakainya. Jika emas itu milik anda, anda wajib bayar zakat.

Penutup

Zakat adalah penyucian harta. Jika anda simpan emas untuk masa depan, zakat ialah cara untuk memastikan keberkatan harta itu terus kekal.

Jika anda baru ingin mula menyimpan emas secara konsisten, anda boleh rujuk panduan lengkap di laman Cara Mula Simpan Emas untuk memahami langkah sebenar memulakan simpanan emas yang patuh syariah.

Jika anda memerlukan bantuan untuk kiraan zakat emas, anda juga boleh hubungi saya atau mana-mana cawangan Public Gold untuk bantuan.

Inilah panduan lengkap untuk anda memahami dan menunaikan zakat emas dengan tepat dan mudah.

Nota: Artikel ini pertama kali diterbitkan pada 8 Jun 2023 dan dikemaskini pada 25 Disember 2025.

Tips Simpanan Emas & Public Gold

Masukkan nama dan emel anda untuk saya hantarkan melalui emel.

Leave a Comment